Friday, March 4, 2016

Menatap Hidup

jika, kejujuran yang menjadi pendamping kita
dalam perjalanan hidup yang diisi pelbagai cerita
segalanya akan menjadi mudah
walau dalam tangisan dan kepedihan yang tak mampu
tertanggungkan oleh diri yang terlalu lemah
kerana kepayahan hidup bukanlah pada segala kekecewaan
yang sering bertamu tanpa diundang
namun kepayahan adalah melayan karenah jiwa
yang terpaksa menipu diri sendiri
demi membuktikan bahawa ia sedang bahagia atau gembira
walhal kita hanya berpaling dari penyakit yang amat gering
namun kejujuran adalah sebuah harta yang tersembunyi
tanpa kita sedari
jalan kejujuran kita hanyalah sebuah kedustaan
dan selang waktu, kita terduduk diam
di bawah bumbung beranda sambil menyesali diri
kita mendengar rintik gerimis pada lantai bumbung dan menyedari
ternyata kesempurnaan yang kita kejar
masih kekal sebagai fantasi yang tidak pernah memuaskan

jika, kejujuran yang menjadi inti jiwa manusia
maka ia akan sentiasa bersyukur dan tegap menjalani hidup ini
ia menghadapi realiti dengan berani, tanpa mengeluh
ia jujur pada kelemahannya namun berdiri di hadapan kepayahan
tidak tunduk kerana telah mengerti erti kejujuran
namun tidak ramai yang rela menjadi seperti itu
sebaliknya terus diam atau bising pada harapan palsunya.