Thursday, January 16, 2014

Kekasih Kelmarin

Kekasih kelmarin adalah baiduri. Permata yang tersisip antara sinar mentari yang mencarak ketika pagi dan bayangnya yang terlabuh luas, mendinding langit kehidupanku. Kutangkap cahayanya, kusemat dengan hemat sebagai keramat, di dalam hatiku. Kerna tanpa kekasih kelmarin, diiringi jalan dan dudukku yang sentiasa sepi, pasti hidupku tiada erti. Pasti cenderaku tiada mimpi. Cahayanya, kekasih kelmarin, menerangi aula alam, dari hujung angkasa ke bintang-bintang di langit malam, cahayanya, menerangi sempit dadaku, dari aliran darah ke nafas yang terberguk. Dialah, kekasih kelmarin, yang menjadi suluh, yang menjernihkan setiap calikku dalam perjalanan hidup. Semula dingin subuh, diselbungi kabus yang merabuni, penuh ujian, penuh kepedihan yang terpaksa diharungi. Semula dari bayi, senantiasa, kekasih kelmarin ada di sisi.

Kekasih kelmarin adalah cenderawasih. Terbang dengan begitu bahadur, kekasih kelmarinlah bahaduri. Ia datang dari adan, menebar sayap kanannya, bertumbuhanlah fauna yang menjadi belantara penghias memori. Menebar sayap kirinya, bertiupanlah bayu yang menjadi ubat segala memori hitam yang menyakiti. Sedang aku adalah cenderasari, bertenggek pada dahan cenderasuri, dan kekasih kelmarin, menjadi pujaan jiwa ini. Melihatnya aku mengerti, alam perlu dikasihi, hidup perlu membenih erti, aku reti, perjuangan ini adalah demi menabur seri kepada insan lain. Memadam cetera yang membenah diri dengan kebencian, menulis semula dengan teliti, sebuah alegori penuh cendekia. Kerna dalam detik kehidupan, kita tidak mahu mencari salah orang, kita tidak mahu membuat musuh, tapi kita ingin teman dan saudara. Kita ingin berkongsi setiap senyuman dan ketawa.

Kekasih kelmarin adalah adika. Menjadi contoh adicita tersohor, terluhur, kepada seluruh jelata. Dia mendeklamasi segala tata dan peri, sebelum melafaznya dalam aklamasi. Lalu rangkap itu disimpan dalam diari setiap bentar memori. Kekasih kelmarin menjadi keping-keping cicih di padang jiwa. Kekasih kelmarin menjadi cekatan dalam pekerjaan seharian. Kekasih kelmarin menjadi pelengkap hidup yang masih bengkar. Lihatlah seringkali, selang waktu, kepada ceramahnya kekasih kelmarin, dan dengari, dan fahami, lalu teladani penuh sabar. Hidulah ambarnya, kekasih kelmarin, yang mewangi. Kusemadikan pada pakaian jubah dan serbanku. Di dalam langkah dan perbuatan wudhu'ku.

Kekasih kelmarin adalah citra pengalaman dalam hidupku, dalam hidupmu, dalam hidup setiap insan. Dialah kekasih yang perlu dikasihi, didekap erat penuh cinta dan suri. Dialah yang mengerti hari yang kini dan esok yang menanti. Jika kekasih kelmarin tidak dipandang dan dipelajari, maka sinar hari-hari akan biah, penuh suram. Namun jika diamati dengan teliti, maka pasti setiap waktu hidup akan badar, ibarat rembulan purnama, ibarat matahari menyirnakan sinarnya. Jangan pernah dilupa kekasih kelmarin, jangan pernah disembunyi kewujudannya. 


abienazrullah
(Kotakinabalu, 2014)

No comments:

Post a Comment